Sayup-sayup kedengaran di luar sana.
Kalau mahasiswa di Malaysia
sibuk dengan pelbagai aktiviti. Ada
yang sibuk bercuti dengan sahabat-sahabat, ada yang menziarahi sanak saudara,
tidak kurang ada yang berprogram bersama kawan-kawan. Bercuti serata dunia.
Bagi yang ada kesedaran, ada yang mengikuti
program ‘short sem’ di pondok-pondok bertiangkan kayu jati bagi memperkukuhkan
ilmu agama. Tidak rasa rugi dengan sedikit bayaran yang di kenakan. Sememangnya
pondok-pondok di Malaysia sekarang sudah banyak upgrade dari segi sistemnya.
Mereka mengetahui mahasiswa-mahasiswa perlukan mereka di kala cuti semester
berlangsung.
Manakala bagi pelajar timur tengah mungkin
sebahagiannya masih dalam peperangan exam yang belum selesai. Semoga Allah
permudahkan semuanya.
Bujang Senang dan Bujang Belum Terlajak
Di hujung tahun sebegini sememangnya para ‘bujang
senang’ mahupun ‘bujang belum terlajak’ mengambil kesempatan untuk mengadakan
hari yang mungkin paling bahagia dalam sejarah hidup iaitu perkahwinan.
Mudah-mudahan dengan harapan sanak saudara dapat
menjadi saksi akan pernikahan mereka disamping mengeratkan silaturrahim. Maklum
lah masing-masing sibuk, menjadikan sanak saudara jarang bertemu.
Setidak-tidaknya setahun sekali di kala hari raya. Itu pun seandainya ada cuti.
Walau bagaimanapun tidak ketinggalan masih ada
yang tidak berkesempatan untuk meraikan hari bahagia tersebut dek kerana
ketidakcukupan dana yang terkumpul untuk merealisasikannya. Mahu tidaknya
sekarang semua barang naik. Kenapa barang naik? Saya tidak mahu jawab.
Masing-masing tahu sebabnya. Masih belum terlambat untuk menurunkannya pada
masa akan datang.
Kini mahar atau belanja perkahwinan menjadi
bualan.
“Anak mak cik Limah tu SPM je, RM10k.”
“Anak Pak Seman pulak RM1k je, murah kan.
Tak patut betul ustaz tu.”
“Anak saya kahwin RM7k, tu pun dekat sepuluh kali
minta diskaun.”
Macam-macam orang cakap. Macam mahu jual barang.
Hukum adat dan sifat berlumba-lumba di kalangan masyarakat hari ini semakin
menjadi-jadi. Masing-masing ingin mengumumkan dan mengisytiharkan.
Anak Aku Paling Mahal
“Anak aku la paling ‘mahal’ setakat ni dalam
kampung kita,” dengan penuh bongkak dan takabur berbicara, tanpa menyedari
hakikat mahar yang disyariatkan.
Masyarakat menjadikan Islam itu semakin sukar
untuk diamalkan. Menyukarkan untuk melaksanakan tuntutan Islam sekali gus
membuka pintu maksiat yang dilakukan oleh pasangan kerana sukar untuk
berkahwin. Inilah barah yang kian melanda dewasa ini.
“Mak tak payah la letak mahal-mahal sangat, dia
bukan keje tetap lagi,” kata Lina.
“Hang gila ke apa? Aku bagi hang belajaq sampai
Master, hang nak bagi kat dia RM2k aje? Baik hang cari orang lain yang lebih
kaya kalau macam tu,” balas Mak Andak pada Lina.
Anak hanya menunduk diam. Tidak berani membantah
cakap ibu. Dikhuatiri akan menderhaka. Kadang-kadang si anak memahami apa yang
dikehendaki dengan perkahwinan, namun niat terhenti atas keinginan ibu bapa.
Macam-macam tanggapan masyarakat tentang belanja,
mas kawin mahupun mahar. Terkadang seperti menjual anak pula. Kita lupa akan
hakikat diri seorang insan yang bergelar wanita. Yang mana nilainya tidak
ternilai dengan RM10k, RM100k dan sebagainya.
Martabat Wanita Di Sisi Agama
Sesungguhnya nilai seorang wanita itu tidak dapat
dinilai dengan wang ringgit. Islam meletakkan martabat seorang wanita itu
terlalu tinggi. Tidak dapat dibeli dengan segala jenis harta. Mahar yang
diberikan hanyalah sebagai penghargaan dan kehormatan dari pihak lelaki kapada
wanita tersebut kerana sudi menjadi teman hidupnya, berjanji berkongsi suka
duka bersama hingga ke akhir hayat.
Mazhab Syafie dan sebahagian ulama tidak
menetapkan kadar yang terendah dalam meletakkan nilai mahar. Selagi mana
mempunyai nilai ia diterima sebagai mahar.
Kita kembali kepada sejarah yang mana Rasul s.a.w
bertanya kepada sahabat yang ingin berkahwin berapakah mahar yang mampu
diberikan kepada pihak perempuan. Kerana apa, kerana ia mengikut kemampuan si
lelaki. Seandainya ditanya kepada pihak perempuan, sudah pasti ia akan
menyukarkan pihak lelaki.
Suami Akan Lakukan Yang Terbaik
Kepada kaum muslimah tidak perlulah risau, kerana
bakal suami anda akan memberikan yang terbaik untuk anda. Pemberian yang lahir
dengan penuh keikhlasan dalam hati lelakilah sebenarnya membawa keberkatan dan
kebahagian dalam sesebuah keluarga.
Bilamana lelaki memberikan mahar yang diminta
oleh pihak perempuan dalam keadaan tertekan, penuh bebanan dan sebagainya,
inilah yang akan membawa kemudaratan di masa hadapan, nauzubillah min zalik.
Mungkin dengan mahar yang tinggi itu, si lelaki
akan mengungkit itu dan ini di masa hadapan.
“Aku bayar sampai RM11k, ingatkan serba boleh.
Goreng ikan pun tak masak betul, lipat baju pun tak pandai, masak kari pun
masin dan bla bla bla….”
Pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku.
Pesan Rasulullah s.a.w
Kita lupa akan pesan Nabi s.a.w yang mana Nabi
menyebut,
“Pernikahan yang paling berkat adalah yang paling mudah perbelanjaannya.”
“Sesungguhnya semulia-mulia perempuan itu ialah yang paling mudah urusan
maharnya.”
“Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah.”
“Berilah mahar sekalipun sebentuk cincin daripada besi.”
Ini menunjukkan Islam tidak mahu menyusahkan
umatnya dalam melaksanakan syariat kerana dengan itu akan timbul pelbagai
masalah yang lain. Sedarlah kita bahawa kita perlu mengubah kembali persepsi
masyarakat yang mengatakan, lagi tinggi harga mahar lagi tinggi darjat
seseorang wanita. Ini salah sama sekali.